Selamat Datang "اهلا وسهلا" Kepada Pengunjung!!!

Cabaran globalisasi dalam ketamadunan modal insan

Posted by Permata Ibu Bapa Monday, March 29, 2010 0 comments

Globalisasi merupakan suatu proses pensejagatan berasaskan hegemoni barat dan kuasa besar terhadap dunia. Ia adalah pancaran dari puncak tamadun kebendaan barat yang menjadikan alat teknologi dan komunikasi sebagai teras kepada penjajahan bentuk baru. Alat utama yang digunakan ialah teknologi langit terbuka seperti setelit untuk menjadikan pensejagatan lebih berkesan. Kesan yang amat nyata ialah dunia menjadi semakin kecil, penstrukturan system, sempadan geopolitik dan budaya akan menjadi lebih terbuka serta gaya hidup masyarakat akan menjadi lebih utilitarian coraknya.

Matlamat globalisasi adalah untuk melahirkan masyarakat bermaklumat dan berilmu. Kesannya secara langsung akan melibatkan struktur sosioekonomi, pendidikan, kebudayaan, multimedia dan usaha penyelidikan dan penbangunan sesuatu Negara. Antara bidang yang rapat hubungannya dengan proses globalisasi ini ialah aspek pembangunan sumber tenaga manusia iaitu proses latihan dan pendidikan.

Kesan awal daripada proses ini ialah penyusunan semula dan penyesuaian kembali sistem pendidikan dunia. Para guru atau pendidik akan didedahkan dengan pelbagai cara latihan untuk memudahkan proses pemindahan maklumat dan pengetahuan berlaku. Proses ini akan membabitkan murid sebagai pengguna dan guru sebagai fasilitator.

Masyarakat pendidikan diuar-uarkan tentang pentingnya intitusi sekoah membina budaya cintakan maklumat. Konsep sekolah bestari mula dipopularkan dan akan diperkembangkan ke seluruh Negara, supaya minda guru dan pelajar dapat disediakan bagi menerima proses globalisasi yang sedang berjalan. Program-program yang menawarkan bidang informasi dan telekomunikasi menjadi semakin diminati pelajar malah para pelajar akan menghadapi masalah rendah diri sekiranya tidak tahu bagaimana mengunakan computer atau wujudnya jurang digital antara sekolah desa dan sekolah di Bandar.

Dalam dunia pendidikan, kepentingan alat dan matlamat berjalan seiring. Sekiranya teknologi dilihat sebagai alat, terdapat aspek lain yang lebih penting iaitu membangunkan personaliti pelajar supaya peka terhadap pentingnya alat dan pada masa yang sama tidak mengurangi matlamat pendidikan itu sendiri iaitu membentuk sahsiah dan sistem nilai yang baik supaya di samping kekayaan sumber maklumat dan keterampilan, ia sekaligus membangunkan nilai-nilai murni seperti keikhlasan, kejujuran, amanah, kecemerlangan, ketelusan dan sebagainya.
Hanya insan yang berguna, berjati diri dan berilmu boleh menjadi “modal” kepada masyarakat yang maju secara holistik atau bersepadu yang mendapat kemenangan dunia dan akhirat. Dengan cara yang mudah, mungkin boleh kita katakan insan yang mampu menjadi modal ini adalah yang beriman, berilmu dan berakhlak.

al-Quran bukan hanya menbincangkan tentang pembangunan modal insan melalui pengenalan tentang sains dan teknolgi tetapi ia juga turut mengajar manusia tentang etika pengunaan teknologi tersebut. Dalam masyarakat yang membangunkan modal insan melalui kemajuan sains. Saintis muslim haruslah menjalankan penyelidikan, mempunyai keutamaan dan menggunakan hasil penyelidikan mereka mengikut nilai-nilai al-Quran atau islam. Meminjam daripada al-Ghazali dalam bukunya ihya ulumuddin, Ziaudin sardar misalnya menyenaraikan nilai-nilai tersebut sebagai:

1. Tauhid – kesatuan ilmu dengan nilai, saling berkaitan dengan segala sesuatu

2. Khilafah – amanah, bahawa manusia bertangungjawab kepada tuhan segala aktiviti saintifik dan teknologinya. Manusia tidak mempunyai hak yang mutlak ke atas sebarang sesuatu apa pun dan dia bertanggungjawab untuk memelihara alam ini.

3. Ibadah – mengerjakan perkara yang baik kerana Allah SWT semata-mata. Sains dan teknologi juga merupakan satu bentuk ibadah.

4. Ilmu – pencarian ilmu(sains) adalah wajib.

5. Halal – yang membawa faedah; tindakan yang akan membawa kebaikan. Sains yang digunakan atau diselidiki mestilah halal.

6. Haram- yang membawa kepada kemudharatan; tindakan yang mengakibatkan kerosakan.

7. Adil – keadilan; segala tindakan atau aktivti(sains) mestilah adil.

8. Zulm – kezaliman; sains dan teknolgi yang membawa kepada kesan-kesan negatif seperti pengangguran, merendahkan martabat manusia dan merosakkan alam sekitar adalah sains zalim dan oleh sebab itu adalah haram dan zalim.

9. Dhiya – membazir; sesuatu sains yang haram itu bersifat membazir apabila ia memusnahkan nilai-nilai kemanusiaan dan kerohanian serta alam sekitar.

10. Istislah – kepentingan orang ramai; sesuatu yang adil itu mestilah mangambil kira kepentingan orang ramai.

Pada pendapat ardar lagi, sistem nilai ini boleh merangkumi keseluruhan ciri-ciri pengkajian saintifik dan dapat menyatukan fakta dan nilai ia mampu mengintitusikan satu sistem pencarian ilmu berdasarkan rasa tanggungjawab terhadap tuhan. Sardar mengkritik para sainstis yang menyatakan bahawa sains dan agama tidak boleh dicampuradukkan dan juga mereka yang mempercayai bahawa akal manusia dengan sendirinya sahaja dapat memberitahu manusia tentang segala-galanya serta sains itu adalah bebas dari nilai. Sardar juga bependapat bahawa seseorang saintis atau biologis itu mempunyai tiga jenis tanggungjawab:

1. Terhadap dirinya sendiri – untuk menggunakan hidupnya dengan sebaik-baiknya.
2. Terhadap masyrakat dan alam sekitar.
3. Terhadap perasaan dalaman(iman) yang menetukan baginya bahawa beberapa perkara tertentu adalah penting.


Khazanah sains dan teknologi dalam al-Quran perlu dihuraikan makna dan kepentingannya kerana ia memang mampu meningkatkan modal insan seperti yang bukan sahaja terbukti dalam sejarah manusia, tetapi juga dalam tamadun kontemporari. Pembangunan modal insan merupakan agenda utama Malaysia dalam rancangan menjadikan Malaysia maju dalam bidang sains dan teknologi berasaskan acuan sendiri.

Pada rancangan Malaysia kesembilan, factor modal insan menjadi agenda utama dalam menentukan pembangunan Malaysia yang mementingkan ilmu dan kepakaran untuk mencapai tahap Negara maju. Modal insan yang berkualiti tidak sekadar mempunyai ilmu kepakaran, keahlian dan profesinalisme yang tinggi, tetapi mendukung sahsiah yang tinggi. Sahsiah tinggi penting untuk dihayati kerana jenis cabaran dalam bidang masing-masing bukan saja bersifat intelektual, teknikal dan professional tetapi menuntut kualiti amanah, adil, telus dan tulus pada diri.

Modal insan berkualiti tidak sahaja terbabit dengan kerja mekanikal, professional dan saintifik tetapi memerlukan etika dan nilai supaya urusan menjadi tulus dan telus. Modal insan yang terbabit dengan salah tadbir. Rasuah, mementingkan diri sendiri oportunis dan seumpamanya tidak akan menjadikan organisasi cemerlang.

Pekerja islam umpamanya tidak harus mempunyai masalah untuk melakukannya. Keyakinan yang tinggi terhadap Allah SWT merupakan faktor utama yang memberikan daya kawalan manusia supaya tidak terbelenggu dengan niat dan cara yang bercanggah dengan konsep amanah dan telus. Keyakinan kepada Allah SWT menjadi penggerak dan pendorong manusia dalam melakukan sesuatu.

Apabila nilai dan etika islam sebati dalam niat dan amalan, maka manifestasi amal akan berjalanseiring. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang faham makna dosa dan pahala, halal dan haram akan dapat membezakan yang mana satu amalan baik atau sebaliknya. Membelenggu diri dengan amalan yang salah berkait rapat dengan rezeki yang diterima. Rezeki yang diterima mungkin tidak halal dan tiada keberkatan apabila dibawa balik ke rumah. Jika keinsafan ini ada bagi setiap orang islam, dengan sendirinya apa saja pekerjaan dapat dilakukan dikaitkan dengan ibadah.

MODEL KEPIMPINAN AGONG NABI MUHAMMAD S.A.W

Posted by Permata Ibu Bapa Saturday, March 27, 2010 0 comments

Nabi Muhammad s.a.w diutuskan untuk membawa rahmat kepada seluruh umat manusia sepanjang zaman. Baginda memimpin melalui risalah tauhid yang diwahyukan oleh Maha Pencipta. Apa yang dibawakan Nabi Muhammad bukan berbentuk ideologi atau falsafah seperti diamalkan penganut agama lain. Nabi Muhammad diutuskan bertujuan menyelamatkan manusia daripada jatuh ke jurang kecelakaan dan kemusnahan. Sebagaimana penerangan terkandung dalam Al-Quran.

“Dan tiadalah kami mengutuskan kamu(Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat semesta alam”
(Al-Anbiyaa’: 21:107)

Kelahiran Nabi Muhammad dinanti-nantikan oleh ahli kitab dari kalangan penganut agama Yahudi dan Kristian, dua agama yang asalnya disebut agama langit. Dalam kitab Injil dan Taurat disebut mengenai kelahiran nabi akhir zaman yang akan membawa rahmat ke seluruh alam.

Ahli kitab kedua-dua agama itu percaya akan lahir seorang nabi yang akan menyatukan seluruh umat Islam dalam satu pegangan tauhid yang sama sehingga ke hari kiamat. Mereka bersedia untuk menjadi pengikut nabi yang bakal lahir itu sebagai kesinambungan kepercayaan yang diyakini sebelum itu. Namun, disebabkan Nabi Muhammad bukan di kalangan keturunan Yahudi mahupun Nasrani, banyak di kalangan ahli kitab itu mengetepikan kepercayaan mereka yang dipegang sekian lama.

Nabi Muhammad menjadi ketua agama, ketua negara, ketua hakim, panglima perang, perancang ekonomi, ketua pendidik, diplomat terkemuka dan suami serta bapa mithali. Pendeknya, kemampuan Baginda menepati gelaran ‘pemimpin agung’ sepanjang zaman seperti diakui semua pihak.

Justeru, Nabi Muhammad adalah ‘role model’ contoh ikutan terbaik. Sebagai penganut agama Islam, sesiapa yang mengikuti apa dilakukan Nabi Muhammad adalah dianggap melakukan sebahagian daripada sunnah.


ELEMEN UTAMA
Rangka kerja tindakan ini merangkumi empat elemen utama iaitu:
1. Akidah Tauhid
2. Ibadah/amal soleh
3. Khalifah
4. Al-falah

Akidah Tauhid
Merujuk kepada wawasan agung dan semangat perjuangan untuk menyampaikan mesej iman, persaudaraan dan keadilan kepada seluruh umat manusia.

Ibadah/Amal Soleh
Keghairahan dan kecintaan untuk mengajak kepada kebaikan dan menghalang kemungkaran. Elemen ini menggabungkan nilai-nilai bersama dalam tindakan seperti komitmen menyeluruh, kepercayaan, kejujuran, sokongan, hormat menghormati dan keberanian.

Khalifah
Berhubung dengan merealisasikan peranan utama sebagai khalifah, agen pengubah dan pemimpin.

Al-falah
Pencapaian kejayaan dan kekayaan untuk semua orang yang mempunyai wawasan yang sama. Merupakan hasil daripada gabungan daripada ketiga-tiga elemen yang saling bergantungan antara satu sama lain secara holistik.


TIGA FAKTOR SEBAGAI ASAS KEPIMPINAN ISLAM

Di sini bermula tiga perkara pokok dalam kepimpinan islam melalui model yang ditunjukan oleh Rasulullah s.a.w iaitu syura, keadilan(dengan kesaksamaan) dan kebebasan bersuara (dengan adab-adab berbeza pendapat)

Syura
Syura ialah proses perundingan bersama yang perlu dilaksanakan oleh sesiapa yang mempunyai kedudukan atau kuasa bagi memastikan penglibatan semua dalam kesaksamaan dalam menyelesaikan masalah dan membuat keputusan. Perundingan bersama boleh disamaertikan dengan mencari persetujuan. Objektifnya ialah untuk memperoleh penyelesaian yang pragmatik dan diterima oleh semua tanpa terjerumus dalam fitnah atau sabotaj setelah persetujuan dicapai.

Keadilan(dengan kesaksamaan
)
Keadilan dalam islam ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya. Dalam setiap perlakuan pemimpin ia perlu melakukan dengan kebenaran yang sentiasa terpancang di mindanya dan sentiasa dilihat sebagai seorang yang adil.

kebebasan bersuara (dengan adab-adab berbeza pendapat)
Adalah hak yang diberikan kepada sesiapa sahaja untuk menyuarakan keprihatinan, persetujuan atau cadangan terhadap sesuatu isu. Walaubagaimanapun, penyataan ini perlu dikemukaan dengan pengamalan adab al ikhtilaf yang boleh difahami sebagai adab- adab berbeza pendapat supaya kewibawaan dapat dikekalkan semasa komunikasi.

Contoh peristiwa semasa kepimpinan Rasulullah:
 Semasa Rasulullah sedang nazak, baginda telah menyerahkan kepada dua masyarakat muslim untuk bersyura bagi memilih khalifah yang akan menerajui kerajaan setelah kewafatan baginda. Dengan berpegang teguh kepada peraturan yang berkaitan dengan kesaksamaan dan kebebasan bersuara, kepercayaan penuh diberikan kepada Saydina Abu Bakar r.a sebagai penganti sah di kalangan para pengikut baginda.

SISTEM NILAI ISLAM
Pengamalan ketiga- tiga perkara pokok ini mesti dilaksanakan selaras dengan lima aspek sistem nilai islam, iaitu:
1. Kewibawaan diri
2. Peningkatan perhubungan
3. Keberkesanan kepimpinan
4. Tatasusila yang beretika
5. Peningkatan moral melalui pengetahuan rohani

Kewibawaan diri
 Rasulullah s.a.w mempunyai wawasan yang jelas, iaitu mengesakan Allah(tauhid), sebagaimana dalam surah iqra yang telah diturunkan kepada baginda semasa baginda berada di gua hira’. Baginda jelas tentang misinya, iaitu menjadi pesuruh Allah S.W.T yang memimpin manusia kearah al-din dan memberi peringatan kepada mereka sekiranya mereka menyeleweng daripadanya. Minda baginda yang jelas dengan wawasan dan misi ini telah membentuk ramalan kesempurnaan kendiri.

Peningkatan perhubungan
 Baginda memberi pengiktirafan kepada mereka yang berhak menerimanya dan mendorong perbuatan setiap amalan baik melalui ucapan positif. Bagi Rasulullah s.a.w setiap orang mempunyai hak yang sama atas baginda. Yang tua dimuliakan dan yang muda dibina menjadi harapan pada masa hadapan.

Keberkesanan kepimpinan
 Baginda bekerja dalam rangka kerja dan set sistem yang betul untuk pentadbiran kerajaan, keadilan dan pentadbiran awam. Dalam proses berkenaan baginda membantu menjauhkan ketakutan, halangan psikologi dan rendah diri.

Tatasusila yang beretika
 Etika ialah satu set prinsip moral yang peka terhadap apa yang benar dan salah. Tauhid adalah asas etika islam sebagaimana yang telah diketengahkan oleh Rasulullah s.a.w kerangka tauhid, iaitu berteraskan keesaan Allah S.W.T dan tunduk serta patuh sepenuhnya kepadanya menegak manusia dari fasad(kemungkaran) di atas muka bumi.

Peningkatan moral melalui pengetahuan rohani
 Pemimpin yang sejati mempunyai kualiti pengikat kekuatan rohani untuk terus bertahan. Kekuatan moral terletak atas prinsip nilai-nilai kualitatif yang baik. Nabi Muhammad s.a.w merupakan seorang pemimpin politik dan spiritual orang ramai yang seterusnya berjaya membina empayar yang tidak berkesudahan.

Dalam konteks pembinaan organisasi, mana-mana elemen ini amat sesuai untuk dilaksanakan melalui latihan, pembelajaran melalui pengalaman atau proses pembudayaan. Usaha-usaha awal perlu diambil untuk melaksanakan kesemua atau mana hahagian yang berkenaan dalam menempuh sebarang kelemahan atau masalah. Setiap bahagian pembangunan merupakan pilihan jangka panjang strategik yang memerlukan perancangan dan komitmen serta pembudayaan yang wajar untuk mengekal atau meningkatkan sempadan persaingan. Ia memerlukan pemerhatian yang teliti terhadap sistem nilai organisasi dan merupakan sebahagian daripada proses penjuruteraan sosial yang memfokuskan kepada faktor-faktor kemanusiaan.


KESIMPULAN
Kira- kira 1400 tahun dahulu, kepimpinan nabi Muhammad sudah lengkap untuk dijadikan contoh yang terbaik dari segenap sudut. Model kepimpinan barat yang diwujudkan sememangnya telah lama dipraktikan oleh pemimpin agong Nabi Muhammad s.a.w.
Sirah Rasulullah sentiasa dijadikan bahan kajian untuk mendapat manfaat daripadanya. Kajian itu turut dilakukan ahli falsafah, ilmuan dan pemikir bukan Islam. Mereka membaca, mengkaji dan membuat rumusan mengenai sirah Rasulullah secara berulang. Semakin banyak yang dikaji, semakin menambahkan lagi rasa kagum terhadap kemampuan Rasulullah.
Namun, sebilangan orientalis yang terang memusuhi Islam membuat rumusan sebaliknya, dengan harapan mencemarkan kedudukan Nabi Muhammad. Sebab itu, kadang-kala kedengaran tuduhan buruk dilemparkan kepada Rasulullah
Niat buruk itu tidak langsung mencemarkan keunggulan Nabi Muhammad dan Islam yang dibawa oleh Baginda. Bahkan, cerita buruk ini mendorong lebih banyak yang ingin mendapat maklumat sebenar mengenai Nabi Muhammad.
Hasilnya mereka menemui kebenaran dan sebahagian besar pengkaji sirah Rasulullah yang terdiri bukan Islam terpaksa mengakuinya secara terbuka.

Sejarah

Posted by Permata Ibu Bapa Sunday, March 21, 2010 0 comments

Baling merupakan salah satu daripada jajahan dalam negeri Kedah Darul Aman, Malaysia. Kawasan Parlimen Baling di negeri Kedah Darul Aman, negara Malaysia. Negeri Kedah terletak di utara Semenanjung Malaysia.

Baling terkenal dengan air terjunnya, seperti Lata Bayu dan Bukit Hijau; serta buah-buahan tempatannya, seperti durian dan langsat.

Selain itu, Baling juga terkenal dengan perkampungan asli yang terletak di Mukim Siong, di mana terletaknya kolam air panas yang dipanggil Kolam Air Panas Legong. Ada 3 kolam air panas yang berbeza suhu.

Di pinggir pekan Baling terdapat gunung batu yang dikenali dengan nama Gunung Baling. Di sebelah belakang gunung itu terdapat beberapa buah kampung. Antara kampung-kampung itu adalah Kampung Padang Cik Mas, Kampung Sekolah, Kampung Seberang, Kampung Charok Bakong dan Kampung Becah Tok Bulan.

Nama Baling dipercayai berasal daripada peristiwa Raja Bersiong seperti yang tercatat dalam Hikayat Merong Mahawangsa. Raja Ong Maha Perita Deria atau lebih dikenali sebagai Raja Bersiung, merupakan raja keempat daripada keturunan Merong Maha Wangsa yang gemar memakan sayur bayam dengan kuah darah manusia. Kelakuan baginda ini dibenci oleh rakyat dan menyebabkan baginda melarikan diri dari istananya yang berpusat di Lembah Bujang. Ketika dalam kepungan menteri dan rakyat, baginda terpaksa berhenti beberapa kali kerana menderita sakit gigi siongnya. Baginda dikatakan telah memulas keluar kedua-dua siongnya di suatu tempat dan membaling gigi siongnya jauh ke tempat yang kini dikenali sebagai Baling.

Dalam cerita lain, nama Baling dikaitkan dengan orang Siam (Thai) dan orang Burma (Myanmar) yang datang ke daerah itu kira-kira 200 tahun dahulu. Mereka datang ke Baling kerana ingin memulakan penghidupan baru. Setelah merentasi pelbagai jenis rintangan mereka sampai ke Baling dan membuat keputusan untuk membuka kawasan hutan di situ. Mereka begotong-royong menebang hutan dan belukar untuk memulakan penempatan baru. Mereka bercucuk tanam, berniaga dan membawa sampan penambang untuk menyara hidup. Ada juga di kalangan mereka yang mencari kayu di hutan dengan menggunakan gajah. Sungai Ketil yang pada masa itu dalam dan luas, menjadi alat perhubungan utama penduduk tempatan. Sungai itu juga kaya dengan ikan. Sampan-sampan dari Kota Kuala Muda yang sarat dengan barang-barang dagang banyak yang berlabuh di tempat itu. Pangkalan di kawasan penempatan baru itu juga dijadikan tempat memunggah candu mentah yang dibawa dari Burma untuk dijual di Kota Kuala Muda.

Bagi penduduk yang bertani, tanaman mereka sangat berhasil. Mereka gembira melihat sayur-sayuran dan buah-buahan yang begitu menjadi. Akan tetapi. Kegembiraan mereka tidak kekal lama. Buah-buahan mereka seperti langsat, rambutan dan durian diserang oleh beribu-ribu kera yang dikatakan datang dari hutan Gunung Baling. Binatang-binatang itu bebas memakan dan memusnahkan buah-buahan mereka. Setelah habis musim buah-buahan, binatang-binatang itu balik ke hutan Gunung Baling. Oleh sebab kaum pendatang itu tidak pernah melihat kera yang begitu banyak mereka menamakan kampung mereka "Ban-Lin" yang bererti "kera". Lama-kelamaan perkataan Ban-Lin bertukar menjadi "Baling".

Mutiara Kata

Posted by Permata Ibu Bapa 0 comments

"Jangan memandang remeh sesuatu yang kecil,
kerana terjadinya bukit datangnya daripada batu kerikil"





































































Posted by Permata Ibu Bapa 0 comments

Kepompong Rama-rama

Seorang ahli enthomologi pernah melakukan penyelidikan terhadap dua kepompong rama-rama yang akan menetas. Kepompong pertama dibiarkan untuk anak rama-rama tersebut untuk keluar sendirian, manakala kepompong kedua anak rama-rama dibantu dengan mengunting sedikit dari bahagian kepompong tersebut.

Apa yang berlaku adalah, anak rama-rama dari kepompong pertama bergelut dan mengalami tekanan serta kesusahan yang amat sangat untuk keluar sepenuhnya dari kepompongnya. Manakala anak rama-rama dari kepompong kedua begitu mudah dan selesa keluar dari kepompong tanpa perlu bekerja keras.

Akhirnya, ahli enthomologi tersebut mendapati bahawa anak rama-rama dari kepompong pertama mampu terbang dan kelihatan cantik bila mana kepaknya dapat dibuka penuh. Manakala anak rama-rama dari kepompong kedua itu langsung tidak mampu terbang mahupun mengembangkan sayapnya.

Moral dari cerita ini adalah; kesusahan dan keperitan yang kita alami di dunia ini adalah kesenangan yang akan kita nikmati di akhirat kelak selagi mana kita sentiasa mencari keredhaanNya.

Sekapur Sirih


Terima kasih diucapkan kepada pengunjung yang sudi menjengah blog saya. Semoga sedikit ilmu yang dikongsi mendapat keberkatan dari Allah.

Anda Pengunjung Ke

Waktu Sekarang

Tentang Saya

Dilahirkan Di Kg Dalam Wang. Merupakan Penuntut di SKDW, SMARA, MMBG, IKM SIK, PGM BALING, KUIN.

Sembang-Sembang


ShoutMix chat widget

Followers

Facebook Badge