Selamat Datang "اهلا وسهلا" Kepada Pengunjung!!!

MODEL KEPIMPINAN AGONG NABI MUHAMMAD S.A.W

Posted by Permata Ibu Bapa Saturday, March 27, 2010

Nabi Muhammad s.a.w diutuskan untuk membawa rahmat kepada seluruh umat manusia sepanjang zaman. Baginda memimpin melalui risalah tauhid yang diwahyukan oleh Maha Pencipta. Apa yang dibawakan Nabi Muhammad bukan berbentuk ideologi atau falsafah seperti diamalkan penganut agama lain. Nabi Muhammad diutuskan bertujuan menyelamatkan manusia daripada jatuh ke jurang kecelakaan dan kemusnahan. Sebagaimana penerangan terkandung dalam Al-Quran.

“Dan tiadalah kami mengutuskan kamu(Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat semesta alam”
(Al-Anbiyaa’: 21:107)

Kelahiran Nabi Muhammad dinanti-nantikan oleh ahli kitab dari kalangan penganut agama Yahudi dan Kristian, dua agama yang asalnya disebut agama langit. Dalam kitab Injil dan Taurat disebut mengenai kelahiran nabi akhir zaman yang akan membawa rahmat ke seluruh alam.

Ahli kitab kedua-dua agama itu percaya akan lahir seorang nabi yang akan menyatukan seluruh umat Islam dalam satu pegangan tauhid yang sama sehingga ke hari kiamat. Mereka bersedia untuk menjadi pengikut nabi yang bakal lahir itu sebagai kesinambungan kepercayaan yang diyakini sebelum itu. Namun, disebabkan Nabi Muhammad bukan di kalangan keturunan Yahudi mahupun Nasrani, banyak di kalangan ahli kitab itu mengetepikan kepercayaan mereka yang dipegang sekian lama.

Nabi Muhammad menjadi ketua agama, ketua negara, ketua hakim, panglima perang, perancang ekonomi, ketua pendidik, diplomat terkemuka dan suami serta bapa mithali. Pendeknya, kemampuan Baginda menepati gelaran ‘pemimpin agung’ sepanjang zaman seperti diakui semua pihak.

Justeru, Nabi Muhammad adalah ‘role model’ contoh ikutan terbaik. Sebagai penganut agama Islam, sesiapa yang mengikuti apa dilakukan Nabi Muhammad adalah dianggap melakukan sebahagian daripada sunnah.


ELEMEN UTAMA
Rangka kerja tindakan ini merangkumi empat elemen utama iaitu:
1. Akidah Tauhid
2. Ibadah/amal soleh
3. Khalifah
4. Al-falah

Akidah Tauhid
Merujuk kepada wawasan agung dan semangat perjuangan untuk menyampaikan mesej iman, persaudaraan dan keadilan kepada seluruh umat manusia.

Ibadah/Amal Soleh
Keghairahan dan kecintaan untuk mengajak kepada kebaikan dan menghalang kemungkaran. Elemen ini menggabungkan nilai-nilai bersama dalam tindakan seperti komitmen menyeluruh, kepercayaan, kejujuran, sokongan, hormat menghormati dan keberanian.

Khalifah
Berhubung dengan merealisasikan peranan utama sebagai khalifah, agen pengubah dan pemimpin.

Al-falah
Pencapaian kejayaan dan kekayaan untuk semua orang yang mempunyai wawasan yang sama. Merupakan hasil daripada gabungan daripada ketiga-tiga elemen yang saling bergantungan antara satu sama lain secara holistik.


TIGA FAKTOR SEBAGAI ASAS KEPIMPINAN ISLAM

Di sini bermula tiga perkara pokok dalam kepimpinan islam melalui model yang ditunjukan oleh Rasulullah s.a.w iaitu syura, keadilan(dengan kesaksamaan) dan kebebasan bersuara (dengan adab-adab berbeza pendapat)

Syura
Syura ialah proses perundingan bersama yang perlu dilaksanakan oleh sesiapa yang mempunyai kedudukan atau kuasa bagi memastikan penglibatan semua dalam kesaksamaan dalam menyelesaikan masalah dan membuat keputusan. Perundingan bersama boleh disamaertikan dengan mencari persetujuan. Objektifnya ialah untuk memperoleh penyelesaian yang pragmatik dan diterima oleh semua tanpa terjerumus dalam fitnah atau sabotaj setelah persetujuan dicapai.

Keadilan(dengan kesaksamaan
)
Keadilan dalam islam ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya. Dalam setiap perlakuan pemimpin ia perlu melakukan dengan kebenaran yang sentiasa terpancang di mindanya dan sentiasa dilihat sebagai seorang yang adil.

kebebasan bersuara (dengan adab-adab berbeza pendapat)
Adalah hak yang diberikan kepada sesiapa sahaja untuk menyuarakan keprihatinan, persetujuan atau cadangan terhadap sesuatu isu. Walaubagaimanapun, penyataan ini perlu dikemukaan dengan pengamalan adab al ikhtilaf yang boleh difahami sebagai adab- adab berbeza pendapat supaya kewibawaan dapat dikekalkan semasa komunikasi.

Contoh peristiwa semasa kepimpinan Rasulullah:
 Semasa Rasulullah sedang nazak, baginda telah menyerahkan kepada dua masyarakat muslim untuk bersyura bagi memilih khalifah yang akan menerajui kerajaan setelah kewafatan baginda. Dengan berpegang teguh kepada peraturan yang berkaitan dengan kesaksamaan dan kebebasan bersuara, kepercayaan penuh diberikan kepada Saydina Abu Bakar r.a sebagai penganti sah di kalangan para pengikut baginda.

SISTEM NILAI ISLAM
Pengamalan ketiga- tiga perkara pokok ini mesti dilaksanakan selaras dengan lima aspek sistem nilai islam, iaitu:
1. Kewibawaan diri
2. Peningkatan perhubungan
3. Keberkesanan kepimpinan
4. Tatasusila yang beretika
5. Peningkatan moral melalui pengetahuan rohani

Kewibawaan diri
 Rasulullah s.a.w mempunyai wawasan yang jelas, iaitu mengesakan Allah(tauhid), sebagaimana dalam surah iqra yang telah diturunkan kepada baginda semasa baginda berada di gua hira’. Baginda jelas tentang misinya, iaitu menjadi pesuruh Allah S.W.T yang memimpin manusia kearah al-din dan memberi peringatan kepada mereka sekiranya mereka menyeleweng daripadanya. Minda baginda yang jelas dengan wawasan dan misi ini telah membentuk ramalan kesempurnaan kendiri.

Peningkatan perhubungan
 Baginda memberi pengiktirafan kepada mereka yang berhak menerimanya dan mendorong perbuatan setiap amalan baik melalui ucapan positif. Bagi Rasulullah s.a.w setiap orang mempunyai hak yang sama atas baginda. Yang tua dimuliakan dan yang muda dibina menjadi harapan pada masa hadapan.

Keberkesanan kepimpinan
 Baginda bekerja dalam rangka kerja dan set sistem yang betul untuk pentadbiran kerajaan, keadilan dan pentadbiran awam. Dalam proses berkenaan baginda membantu menjauhkan ketakutan, halangan psikologi dan rendah diri.

Tatasusila yang beretika
 Etika ialah satu set prinsip moral yang peka terhadap apa yang benar dan salah. Tauhid adalah asas etika islam sebagaimana yang telah diketengahkan oleh Rasulullah s.a.w kerangka tauhid, iaitu berteraskan keesaan Allah S.W.T dan tunduk serta patuh sepenuhnya kepadanya menegak manusia dari fasad(kemungkaran) di atas muka bumi.

Peningkatan moral melalui pengetahuan rohani
 Pemimpin yang sejati mempunyai kualiti pengikat kekuatan rohani untuk terus bertahan. Kekuatan moral terletak atas prinsip nilai-nilai kualitatif yang baik. Nabi Muhammad s.a.w merupakan seorang pemimpin politik dan spiritual orang ramai yang seterusnya berjaya membina empayar yang tidak berkesudahan.

Dalam konteks pembinaan organisasi, mana-mana elemen ini amat sesuai untuk dilaksanakan melalui latihan, pembelajaran melalui pengalaman atau proses pembudayaan. Usaha-usaha awal perlu diambil untuk melaksanakan kesemua atau mana hahagian yang berkenaan dalam menempuh sebarang kelemahan atau masalah. Setiap bahagian pembangunan merupakan pilihan jangka panjang strategik yang memerlukan perancangan dan komitmen serta pembudayaan yang wajar untuk mengekal atau meningkatkan sempadan persaingan. Ia memerlukan pemerhatian yang teliti terhadap sistem nilai organisasi dan merupakan sebahagian daripada proses penjuruteraan sosial yang memfokuskan kepada faktor-faktor kemanusiaan.


KESIMPULAN
Kira- kira 1400 tahun dahulu, kepimpinan nabi Muhammad sudah lengkap untuk dijadikan contoh yang terbaik dari segenap sudut. Model kepimpinan barat yang diwujudkan sememangnya telah lama dipraktikan oleh pemimpin agong Nabi Muhammad s.a.w.
Sirah Rasulullah sentiasa dijadikan bahan kajian untuk mendapat manfaat daripadanya. Kajian itu turut dilakukan ahli falsafah, ilmuan dan pemikir bukan Islam. Mereka membaca, mengkaji dan membuat rumusan mengenai sirah Rasulullah secara berulang. Semakin banyak yang dikaji, semakin menambahkan lagi rasa kagum terhadap kemampuan Rasulullah.
Namun, sebilangan orientalis yang terang memusuhi Islam membuat rumusan sebaliknya, dengan harapan mencemarkan kedudukan Nabi Muhammad. Sebab itu, kadang-kala kedengaran tuduhan buruk dilemparkan kepada Rasulullah
Niat buruk itu tidak langsung mencemarkan keunggulan Nabi Muhammad dan Islam yang dibawa oleh Baginda. Bahkan, cerita buruk ini mendorong lebih banyak yang ingin mendapat maklumat sebenar mengenai Nabi Muhammad.
Hasilnya mereka menemui kebenaran dan sebahagian besar pengkaji sirah Rasulullah yang terdiri bukan Islam terpaksa mengakuinya secara terbuka.

0 comments

Post a Comment

Sekapur Sirih


Terima kasih diucapkan kepada pengunjung yang sudi menjengah blog saya. Semoga sedikit ilmu yang dikongsi mendapat keberkatan dari Allah.

Anda Pengunjung Ke

Waktu Sekarang

Tentang Saya

Dilahirkan Di Kg Dalam Wang. Merupakan Penuntut di SKDW, SMARA, MMBG, IKM SIK, PGM BALING, KUIN.

Sembang-Sembang


ShoutMix chat widget

Followers

Facebook Badge